Erdogan mahu mencorak PAS Wajah Baru

‘Erdogan masa depan PAS’

Oleh JOHARI M

Perbincangan isu pemilihan kepimpinan PAS yang diadakan di Kuala Lumpur pada 24 Mei semalam memberi gambaran kesimpulan bahawa masa depan PAS berkait rapat dengan kumpulan Erdogan, yang juga disifatkan sebagai kumpulan “progresif” dalam parti Islam itu.

Forum itu bertajuk Pemilihan 2011: Mampukah PAS Membuat Lonjakan, memberi implikasi dan isyarat bahawa pemilihan pemimpin-pemimpin tertentu sebagai tanda lonjakan atau pembaharuan dimaksudkan itu.

Forum anjuran pemikir libertarian Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas), Ilham Center dan Free Public Forum Malaysia itu ialah yang pertama dalam siri forum berhubung PAS yang akan diadakan.

Wakil-wakil PAS terdiri daripada Dr Dzulkifly Ahmad, ahli Parlimen Kuala Selangor dan bekas pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Khalid Samad, ahli Parlimen Shah Alam dan Datuk Kamaruddin Jaafar, ahli Parlimen Tumpat.

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari menjadi ahli panel tunggal yang bukan dari PAS. Forum dipengerusikan Wan Saiful Wan Jan dari Ideas.

Apa yang paling jelas daripada forum itu ialah wakil-wakil PAS kesemuanya sealiran, sehingga boleh menimbulkan persoalan keperluan sehingga tiga orang menjadi panel.

Malah, tidak ada wakil dari kem bertentangan dipanggil, sehingga forum menjadi mudah diagak dan ahli-ahli panel kurang dicabar.

Apa yang lebih mengundang perhatian ialah dua yang terlibat; Wan Saiful dan Abdul Aziz pada bulan lalu menerbitkan tulisan yang mengkritik dengan keras Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, tindakan yang dilihat muncul sebagai sebahagian permainan menjelang muktamar parti itu.

Walaupun kewujudan kem dan label Erdogan dinafikan, persamaan ide dan perspektif wakil-wakil PAS terbabit memperlihatkan sebaliknya.

Malah, istilah properubahan turut timbul, yang memberi makna wujud kem lain yang tidak mahu atau kurang menerima perubahan.

Kesemua ahli Parlimen PAS terbabit mengemukakan sudut pandangan yang menarik, popular dengan audiens yang hadir, dan berdasarkan suasana politik semasa, perlu diperincikan dan dijelaskan lagi dalam wacana lain.

Hampir kesemua pandangan dikemukakan kelihatan sangat ideal dan baik, sehingga tertonjol ketidakselariannya dengan perkembangan dalam parti selama ini yang jauh berbeza.

Kesemua memberikan pandangan yang sealiran dengan sedikit perbezaan, tetapi paling efektif disampaikan oleh Dzulkifly, yang antara lain turut mengemukakan hujah berdasar nas al-Quran untuk menyokong sistem dua parti.

Forum ini – dan pelbagai forum lain sebelum ini – mengukuhkan lagi kedudukan Dzulkifly sebagai tokoh paling mempunyai keupayaan intelektual yang cukup untuk menjelaskan ide-ide yang dikaitkan dengan kumpulan itu.

Menurutnya, sistem dua parti secara praktikal ialah semak dan imbang antara dua kumpulan seperti disebut dalam al-Quran.

Khalid walaupun menegaskan lagi pendiriannya yang biasa didengari sebelum ini, kelihatan agak berbeza apabila memuji dua pemimpin konservatif yang berseberangan dengan Erdogan, iaitu presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Nasrudin Hassan, ketua pemuda.

Beliau turut mengelak daripada menjawab soalan berhubung kemungkinan bekerjasama dengan Umno, tanpa memberi sebarang penjelasan.

Kamaruddin, menjawab satu soalan peserta pada penghujung program mengakui bahawa ide kerajaan perpaduan yang disarankan oleh presiden telah tidak dibincangkan dengan sempurna oleh pimpinan PAS.

Menjelaskan ide-ide yang dilihat dipelopori oleh Erdogan, Kamaruddin menjawab satu isu dengan baik apabila memberikan latar sejarah pakatan politik melibatkan Melayu-Muslim dengan bukan Melayu seperti dilakukan sebelum merdeka dan pada 1980-an dengan penubuhan majlis untuk menguruskan perhubungan dengan orang Cina.

Abdul Aziz tidak menampakkan perbezaan daripada kenyataan-kenyataan provokatifnya sejak beberapa tahun lalu.

Secara keseluruhan, forum ini menarik dan berjaya menyampaikan pandangan-pandangan Erdogan dengan baik, tetapi dalam parti apa yang disebut tidak seindah itu kerana berlaku pergeseran yang getir akibat daripadanya.

Apapun, forum seperti ini wajar diadakan lagi, tetapi hendaklah lebih mewakili pandangan berbeza dan tidak hanya membawa satu aliran pandangan seperti yang berlaku dalam forum ini.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: