Mengapa erdogan dalam PAS membisu dalam isu UG antara Najib dan Anwar?

AUGUST 13, 2013

Oleh Shabudin Husin

erdogan2Isu kerajaan perpaduan antara BN dan PKR muncul lagi. Kali ini ia disahkan sendiri oleh Anwar melalui wawancara dengan laman web, Asia Sentinel di mana Ketua Pembangkang itu mengakui bahawa usaha itu dimulakan oleh Najib sendiri.

Namun demikian, Anwar memberitahu beliau menolak usaha itu melalui perantara sebelum ia sempat menjadi kenyataan.

Sebelum ini, isu kerajaan perpaduan antara BN dan PKR juga muncul ketika kedua-dua pemimpin, Najib dan Anwar secara serentak berkunjung ke Indonesia di mana keduanya dilaporkan mengadakan pertemuan di sana yang diinisiatifkan oleh Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun kedua-dua mereka kemudiannya menafikan ada mengadakan pertemuan itu.

Usaha pembentukan kerajaan perpaduan ini juga dikatakan turut melibatkan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusof Kalla melalui beberapa kunjungannya ke Kuala Lumpur untuk bertemu Najib dan Anwar. Kunjungan terbaru Jusof ke negara ini dilaporkan pada minggu lalu.

Sebelum ini Jusof Kalla pernah menjadi orang tengah untuk menandatangai persefahaman untuk penyerahan kuasa secara aman sebaik keputusan pilihanraya lalu dan menerima apa saja keputusan rakyat. Bagaimanapun, persefahaman itu tidak ditandatangaini oleh Najib manakala Anwar pula kemudiannya enggan menerima sepenuhnya keputusan pilihanraya atas dakwaan pilihanraya itu tidak adil dan tidak bebas.

Isu yang menjadi perbualan ramai sekarang ialah sejauh mana pembentukan kerajaan perpaduan ini bakal menjadi kenyataan? Najib dikatakan memulakan usaha itu tetapi setakat mana Anwar menolaknya? Apakah Anwar hanya menolaknya kali ini atau menolak selama-lamanya?

Sebelum ini dilaporkan juga pembentukan kerajaan perpaduan ini turut melibatkan tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Anwar serta lima jawatan menteri kabinet kepada PKR.

Soalnya, jika tawaran dibuat lagi selepas ini, apakah Anwar akan terus menolaknya?

Kenapa pula Najib mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan PKR dan bukannya dengan PAS? Mengapa Anwar lebih didambakan oleh Najib berbanding Haji Hadi Awang?

Sekarang ini BN mempunyai 133 kerusi Parlimen. Jika ia bergabung dengan PKR yang mempunyai 30 kerusi Parlimen, kedudukan kerajaan perpaduan yang baru itu akan menjadi 163 kerusi, melebihi had majoriti dua pertiga. Kedudukan pembangkang pula akan menurun daripada 89 kerusi kepada 59 kerusi Parlimen.

Tetapi sekiranya BN bergabung dengan PAS yang mempunyai 21 kerusi pula, kerajaan perpaduan BN dengan Pas akan menjadi 154 kerusi. Kedudukan ini juga mencapai tahap dua pertiga kerana had minima untuk membentuk dua pertiga hanyalah 148 kerusi sahaja.

Sekiranya Najib ingin menguatkan kedudukan Melayu dan Islam, beliau seharusnya memilih PAS tetapi sehingga ini tidak terdengar ada tawaran pernah dibuat kepada parti Islam itu. Najib nampaknya lebih meminati PKR berbanding PAS.

Anwar, Husam & AzminMenjelang kira-kira 100 hari selepas berakhirnya pilihanraya umum, kita sudah didedahkan dengan dua kali munculnya spekulasi mengenai hasrat Najib mahu membentuk kerajaan perpaduan antara BN dengan PKR. Dengan Anwar sendiri mengakui usaha itu dibuat oleh Najib, ia ternyata sukar disangkal kebenarannya. Najib pula masih berdiam diri sehingga kini. Lebih-lebih lagi kebelakangan ini, Najib dilihat tidak pernah menyentuh mengenai Anwar dan PKR dalam ucapan-ucapannya. Serangannya terhadap Anwar juga tidak kedengaran lagi.

Hanya media pro Umno saja yang terus-menerus memainkan isu mengenai Anwar. Tetapi tentulah tidak semua perkara yang mahu dilakukan oleh Najib perlu diberitahunya kepada sesiapa terlebih dahulu. Barangkali ini merupakan usaha yang betul-betul rahsia yang mahu dilakukan oleh Perdana Menteri.

Anwar dan PKR menjadi pilihan Najib untuk membentuk kerajaan perpaduan mungkin disebabkan beberapa faktor. Pertama, mungkin disebabkan sebahagian ahli PKR adalah bekas ahli Umno walaupun parti itu berbilang laum sifatnya. Membentuk kerajaan perpaduan bererti membawa mereka kembali ke pangkuan BN dan kerajaan.

Keduanya, dengan kedudukan PRK yang berbilang kaum dan sebahagian Ahli Parlimennya juga daripada kam Cina dan India, Najib mengharapkan kelompongan yang ditinggalkan akibat banyak kerusi MCA, Gerakan dan MIC yang tewas dalam pilihanraya lalu, dapat ditampungnya. Keseimbangan kaum dalam kerajaan dapat diwujudkan kembali.

Secara langsung kestabilan dalam kerajaan kembali kukuh dan ia juga selaras dengan jiwa 1Malaysia Najib sendiri. Ini merupakan antara sebab PKR lebih menjadi pilihan berbanding PAS.

Ketiganya, PKR menjadi pilihan jelas menggambarkan kebimbangan Najib tentang masa depan BN dalam pilihanraya ke 14 nanti. Walaupun dalam pilihanraya lalu, BN menang 133 kerusi dengan Umno menang 88 kerusi daripadanya, ia belum merupakan jaminan yang kuat BN mampu terus bertahan dalam pilihanraya umum lima tahun lagi.

Dengan kadar celik internet yang makin bertambah seiring dengan pembangunan bandar baru, penguasaan Umno di kawasan luar bandar dijangka semakin menurun manakala golongan yang kritikal terhadap kerajaan turut meningkat. Dijangkakan juga menjelang lima tahun akan datang terdapat kira-kira 5 juta pengundi baru di mana majoritinya diramalkan memang tidak memihak kepada BN.

Cabaran inilah yang menjadikan Najib melihat berbaik-baik dengan PKR adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengekalkan kesinambungan kuasa BN dan dirinya di negara ini. Dengan bergabung dengan PKR yang mana selama ini Anwar menjadi tunjang kekuatan parti itu, kekuatan pembangkang juga dapat dikekang kerana jika hanya tinggal PAS dengan DAP saja yang menjadi cabaran BN, ia jauh lebih mudah untuk diuruskan.

erdogan4Salah satu kejayaan Anwar dalam memimpin Pakatan Rakyat ialah kejayaannya menyatupadukan PAS, DAP dan PKR dalam ikatan yang lebih kukuh dan boleh bertanding satu lawan satu dengan BN. Sekiranya PKR berjaya ditanggalkan daripada gabungan itu, PAS dan DAP bukan saja kurang kekuatannya, bahkan mungkin di sesetengah kerusi akan berlaku persaingan sesama sendiri antara PAS dan DAP sebagai calon pilihanraya sebagaimana yang kerap berlaku sebelum ini.

Keempatnya, dengan membentuk kerajaan perpaduan bersama PKR, kedudukan Najib pastinya juga bertambah kukuh. Walaupun sebelum ini ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, Najib merupakan salah seorang penyokong kuat Anwar, kini sekiranya Anwar pula yang menjadi pendokong Najib, sudah tentulah Najib bertambah kukuh lagi. Pengaruh lain dalam Umno yang mahu menggugat kedudukannya seperti elemen Muhyiddin dan Mahathir akan dapat dineutralkan dengan adanya Anwar bersama-samanya dalam kerajaan.

Walaupun sehingga ini pembentukan kerajaan perpaduan ini terlihat mustahil dan Anwar sendiri bertegas menolaknya, manakala sebahagian ahli serta pemimpin PKR juga menolaknya atas alasan penentangan terhadap Umno dan BN selama ini adalah berkaitan isu dasar seperti rasuah, penyelewengan, pembaziran, ketelusan dan sebagainya, tetapi seiring dengan perjalanan masa adalah tidak mustahil tawaran Najib kepada PKR akan muncul kembali.

erdogan3Sekali pelawaan ditolak, dua kali juga ditolak tetapi jika pinangan terus-menerus datang dengan tawaran yang semakin menarik, mungkin daripada lima jawatan kabinet bertambah kepada tujuh misalnya disamping jawatan lain dalam GLC misalnya, adalah tidak mustahil pembentukan kerajaan perpaduan ini akan menjadi kenyataan juga akhirnya.

Lebih-lebih lagi, di samping Najib mempunyai masalahnya sendiri seperti gugatan Muhyiddin dan gangguan Mahathir dalam pentadbirannya, manakala Anwar juga ada masalah juga serta keinginan yang terpendam, tidak mustahil jika titik persamaan itu bertemu, akhirnya akan terbentuk pakatan yang menyaksikan kedua-duanya bersatu atas kepentingan “menang-menang”. – shahbudindotcom.blogspot.com, 13 Ogos, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/kenapa-anwar-lebih-didambakan-najib-bukannya-pas-untuk-membentuk-kerajaan-p

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: