Polemik ‘kerajaan perpaduan’: Anwaris dalam PAS, erdogan PAS kini tersepit

Mengimbas kembali ‘kerajaan perpaduan’ : http://www.politikpop.com/2010_06_01_archive.html

Ketika bermula muktamar tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu, Kelantan minggu ini, pelbagai isu yang berkaitan dengan permainan politik dalaman parti ini sudah pun tersebar di pelbagai media termasuk blog.

Satu isu perenial yang ditimbulkan untuk mencapai tujuan politik kelompok ialah kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan oleh presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun lalu.

Dalam wacana popular kelompok tertentu, isu ini ditimbulkan secara mudah, tanpa penjelasan yang definitif yang boleh menyanggah kebolehlaksanaan ide tersebut.

Kerajaan perpaduan, yang disebut sebagai “UG” (singkatan kepada unity government) dijadikan simbol dalam kempen negatif terhadap Abdul hadi dan sesiapa sahaja yang dilabel “pro-UG.”

Hampir semua isu, daripada pertemuan di rumah terbuka hingga kepada pemberian credential media kepada penulis blog di muktamar diletakkan secara mudah di bawah tajuk besar “UG.”

Berdasarkan pemerhatian pada sejarah singkat wacana kerajaan perpaduan dalam PAS, kempen negatif yang dimainkan secara berterusan itu dapat dibuktikan sebagai satu tindakan politik kelompok yang tidak berdasarkan sebarang bukti.
Ide kerajaan perpaduan yang paling jelas oleh Abdul Hadi dicetuskan dalam satu wawancara yang disiarkan Siasah keluaran ke-138 (1 hingga 7 Mac, 2009). Muka depan Siasah keluaran itu memuatkan berita utama bertajukNegara Tanpa Pembangkang, yang menyusuli siri tumpuan kepada “politik damai” yang dicadangkan oleh Siasah. (1)

Dalam wawancara itu, Abdul Hadi menerangkan cadangan kerajaan perpaduan dengan mengambil contoh Indonesia di bawah bekas Presiden BJ Habibie. Jelas Abdul Hadi, kerajaan perpaduan ini akan melibatkan semua parti politik menjadi sebahagian kerajaan, dan bukan hanya melibatkan PAS dengan Umno. (2)

Ketika itu, cadangan ini menerima reaksi positif daripada banyak pihak dalam PAS sekurang-kurangnya, dengan isu kerjasama PAS dengan Umno tidak ditimbulkan langsung.

Malah, dakwaan bahawa cadangan kerajaan perpaduan dibawa hanya oleh Abdul Hadi dan “PAS Terengganu” tidak didapati asasnya kerana ide ini turut dibawa oleh Dr Mujahid Yusuf, Ahli Parlimen Parit Buntar.

Dalam Siasah keluaran yang sama, Mujahid yang juga pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS dalam satu tulisan panjangnya menjelaskan perlunya satu pendekatan baharu dalam politik negara, dengan menimbulkan persoalan, “Mungkinkah ini era kerajaan perpaduan nasional ataukah ia kerajaan persekutuan nasional yang akan terbentuk..,” memberikan harapan kepada penubuhan sebuah kerajaan perpaduan nasional baharu. (3)

Kemudian, ekoran pelbagai isu yang timbul dalam perdebatan isu kerajaan perpaduan dan kehadiran Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai perdana menteri baharu, gagasan kerajaan perpaduan yang hampir menjadi konsensus itu mula ditolak.

Pada penghujung April, Abdul Hadi menjelaskan bahawa cadangan kerajaan perpaduan tidak berbangkit lagi.

Beliau dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily dalam satu laporan bertarikh 21 April bahawa ide kerajaan perpaduan ditarik balik kerana wujud ketidakfahaman dalam kalangan ahli PAS sendiri dan menimbulkan pelbagai kekeliruan, walaupun isu itu sudah dibincangkan di peringkat pemimpin tertinggi. (4)

“Ramai yang tidak faham dengan konsep ini. Rakyat ada kebebasan. Ini ‘unity’ biar kita kena faham. Apa yang saya rasa lucu, ada orang Umno yang membangkang dan ada orang Umno yang bersetuju.

“Tetapi, orang PAS juga bangkang dia (PAS) tidak tahu. Ini menandakan, dia (orang PAS) tidak tahu apa ‘unity government.’ Barangkali kalau dia tahu bentuknya saya rasa orang boleh terima. Oleh kerana, ramai orang tidak faham, maka, saya tarik balik cadangan saya itu.”

Selepas itu, Harakahdaily melaporkan pada 18 Jun kenyataan Datuk Harun Taib, ketua Dewan Ulama yang menyebut kerajaan perpaduan tidak boleh berlaku jika hanya dengan Umno. (5)

“Kerajaan perpaduan itu bukan hanya PAS dengan Umno sahaja, tidak timbul soal PAS-Umno. Semua parti-parti politik terlibat sama dengan Parti Keadilan Rakyat, DAP, MCA, MIC, Umno dan parti-parti di Sabah danSarawak baru jadi ‘perpaduan.’”

Penutupan pintu kerajaan perpaduan dijelaskan lagi beberapa bulan selepas kenyataan Abdul Hadi itu. Pada Jun 2009 melalui satu kenyataan bersama pemimpin Pakatan Rakyat mengulangi pendirian kerajaan rakyat tidak lagi menjadi isu bagi gabungan itu.

Laporan Harakahdaily bertajuk Tidak Ada Lagi Bincang Kerajaan Perpaduan – Presiden PAS turut dimuatkan juga dalam blog Datuk Seri Anwar Ibrahim. (6)

“Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang,” kata Anwar seperti dilapor Harakahdaily.

>Dalam debat panjang yang tidak berkesudahan ini, dua perkara besar kelihatan sengaja diabaikan oleh pengkritik gagasan tersebut, iaitu definisi dan bentuk serta proses ke arah kerajaan perpaduan dan tindakan PAS menggugurkan agenda itu.

Kerajaan perpaduan terus didefinisikan sebagai “perpaduan PAS-Umno” yang hanya mempunyai satu bentuk, dengan kedua-dua parti bergabung dalam satu pakatan politik – mengabaikan realiti kedudukan Umno yang bekerjasama dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam Barisan Nasional – dan terus dikatakan menjadi agenda PAS walaupun kenyataan demi kenyataan menafikannya dibuat oleh pemimpin parti tersebut.

Pada masa sama, pertemuan pemimpin PAS tertentu dengan pemimpin Umno atau pegawai kerajaan tertentu juga ditafsirkan sebagai pertemuan untuk dalam tajuk “kerajaan perpaduan PAS-Umno.”

Selepas semua kenyataan menjelaskan tentang kerajaan perpaduan, isu ini terus dikemukakan sebagai gabungan PAS dengan Umno yang menjadi agenda rahsia kumpulan yang digelar “faksi Umno” dalam PAS.

Selain kenyataan, tidak ada juga sebarang perbincangan dan tindakan yang boleh dibaca sebagai meneruskan gagasan kerajaan perpaduan daripada mana-mana pihak dalam PAS, tetapi momokan “UG” yang berdasarkan tafsiran menyeleweng – yang seragam bentuknya dalam setiap komentar pengkritiknya – masih menjadi senjata kumpulan tertentu dalam PAS sendiri untuk menyimpulkan pelbagai isu, termasuk yang tidak berkaitan sama sekali dengan matlamat menjejaskan kredibiliti.

Kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi itu telah tidak ditangani dengan sewajarnya oleh banyak pihak – terutama oleh mereka yang memberi sokongan penuh kepada projek 16 September yang boleh dipertikaikan dari segi moral itu – dan menjadikannya senjata dalam kempen negatif terhadap satu kelompok dalam PAS. – 9 Jun, 2010

Nota

1. Negara Tanpa Pembangkang. (2009, 1-7 Mac). Siasah138, 1.

2. Kerajaan Tanpa Pembangkang untuk Kepentingan Semua. (2009, 1-7 Mac). Siasah138, 8-9.

3. Mujahid Yusuf. Perubahan Lanskap Politik Negara: Mampukah Pendekatan Baru Membina Semula Keutuhan Perpaduan Nasional? (2009, 1-7 Mac). Siasah138, 7.

4. Khairul Azlam Mohamad. (2009, 21 April) Cadangan Kerajaan Perpaduan Tidak Berbangkit Lagi. Harakahdaily.net. Dicapai daripadahttp://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=020418&Itemid=115

5. Khairul Azlam Mohamad. (2009, 18 Jun) Tutup Pintu ‘Kerajaan Perpaduan’ Jika Hanya dengan Umno. Harakahdaily.net. Dicapai daripadahttp://www.harakahdaily.net/index.php/Table/Kenyataan-Rasmi/index.php?option=com_content&task=view&id=21332&Itemid=50

6. Wan Nordin Wan Yaacob. (2009, 22 Jun) Tidak Ada Lagi Bincang Kerajaan Perpaduan. Harakahdaily.net. Dicapai daripadahttp://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=21376:tidak-ada-lagi-bincang-kerajaan-perpaduan-presiden-pas&catid=1:utama&Itemid=50 Juga disiarkan di blog Anwar Ibrahim, pada tarikh dan dengan tajuk yang sama di URLhttp://anwaribrahimblog.com/2009/06/22/tidak-ada-lagi-bincang-kerajaan-perpaduan-presiden-pas/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: