Kenapa Saya Tidak Bersama IKRAM dan ISMA?

Assalamualaikum.

Ke hadapan sahabat-sahabatku pelusuk dunia, diharapkan Allah swt terus mengurniakan kebaikan dan saya doakan kita terus kekal berada di atas jalannya, insyaAllah.

Tujuan saya menulis warkah ini adalah untuk menyampaikan penjelasan kenapa saya memilih untuk tidak menyertai IKRAM, ISMA dan jemaah-jemaah lain yang bertebaran di muka bumi ini, sebaliknya saya memilih untuk menyokong perjuangan PAS. Saya bukanlah ahli PAS, saya hanyalah penyokong yang melihat dari jauh. Tidak salah untuk saya menyokong mana-mana parti. Itulah asas demokrasi. Disebabkan saya bukan ahli PAS, saya menyeru supaya segala kesilapan diletakkan ke atas bahu saya, bukannya kepada PAS.

Sebelum melangkah lebih jauh, saya ingin menjelaskan, saya hanya menyebut IKRAM dan ISMA kerana IKRAM dan ISMA juga merupakan jemaah yang paling rapat secara fizikal dengan saya. Saya boleh menyertai jemaah ini jika saya mahu. Jemaah-jemaah lain, seperti HALUAN, ABIM tidak ada dalam capaian saya. Manakala jemaah Al-Arqam, Nasyqabandi (pembetulan: saya baru tahu fatwa Nasyqanbandi ditarik balik) dan Syiah sudah difatwakan menyeleweng, maka mereka tidak masuk ke dalam pertimbangan sama sekali.

Sebab Utama Saya Tidak Bersama IKRAM & ISMA
Sebab utama saya tidak menyertai IKRAM dan ISMA adalah kerana saya menolak perpecahan.

Saya menolak konsep taadud jemaah kerana saya memandang taadud jemaah merupakan satu bala dalam perjuangan Islam.Taadud jemaah bukanlah satu nikmat sebagaimana yang diucapkan oleh sesetengah pendapat, terutama sekali dalam situasi di Malaysia yang mana umat Islam yang komited sudah sedia sedikit. Saya berpendapat sama dengan Ustaz Fathi Yakan dalam kitabnya Ihzaru Al-AIDS Haraki yang menyatakan bahawa taadud jemaah sama sekali tidak akan mendatangkan kebaikan untuk Islam. Dan, inilah lumrah perjuangan. Di Mesir contohnya, di kala pejabat Ikhwanul Muslimin diserang, parti-parti Islam yang lain tidak merasai keperitan diserang itu. Hanya jemaah Ikhwanul Muslimin sahaja yang bertindak mempertahankan diri, jemaah Islam lain berdiam diri sahaja. Sedih sungguh apabila kewujudan jemaah ini menyebabkan umat Islam hanya mempertahankan jemaah mereka sahaja.

Di sini, jelaslah pada pandangan saya taadud jemaah ini merupakan bala. Umat Islam disuruh untuk bersatu padu sehingga pada tahap jika satu bahagian badan merasa sakit, seluruh badan terasa sakit. Sangat jarang untuk ahli jemaah lain merasai kepedihan dan keperitan ahli jemaah lain. Semuanya kerana apabila wujudnya berbilang jemaah, unconciously kita merasakan jemaah kita sahaja merupakan saudara kita. Sangat sukar untuk menyebarkan persaudaraan melangkaui jemaah. Disebabkan kita merasakan bahawa ahli jemaah kita sahaja saudara kita, kita sanggup melakukan kezaliman terhadap jemaah lain. Kita memfitnah mereka begitu dan begini, asalkan orang tidak mendekati jemaah orang lain. Inilah realiti taadud jemaah di Malaysia.

Contoh-contoh kejahatan di atas, tidaklah saya menyatakan bahawa ianya dilakukan oleh IKRAM ataupun ISMA. Saya hanya menyatakan contoh bahawa itulah yang AKAN berlaku apabila berlakunya berbilang jemaah, tidak kira di mana pun berada. Tapi, ianya mungkin sudah berlaku, saya berharap kita sama-sama renung dan  fikir.

Mengapa Memilih PAS tetapi tidak UMNO?
Ada orang mungkin tertanya-tanya, “Anda menolak taadud jemaah dan anda memilih PAS, bukankah PAS wujud selepas UMNO? Jadi, kenapa bersama PAS yang merupakan ‘perpecahan’ daripada parti Melayu Islam iaitu UMNO sendiri?”

Sebagaimana yang telah saya ucapkan pada permulaan tadi, saya menolak Al-Arqam dan syiah kerana asas mereka adalah menyeleweng. Mereka merupakan golongan ajaran sesat. Walaupun mereka meletakkan ajaran Islam sebagai asas mereka, namun, apa yang dibawa mereka bukanlah Islam yang sebenar.

Ini menunjukkan saya memilih jemaah yang saya ikuti berdasarkan dasar yang dibawa mereka, bukannya nama Melayu orang yang memimpinnya.

Apabila orang mengatakan PAS merupakan perpecahan daripada UMNO, saya sebenarnya tidak nampak perkara itu. Ahli PAS pernah bersama UMNO dan berusaha mengubah UMNO daripada dalam, namun, tidak berjaya. Kemudian, PAS keluar daripada UMNO. Namun, saya nampak keunikan dalam pembentukan PAS yang tiada dalam pembentukan jemaah lain selain PAS. PAS bukan sahaja terbentuk sebagai jemaah yang memperjuangkan Islam namun PAS adalah parti yang bertujuan mengembalikan UMNO kepada Islam yang syumul. Tertubuhnya PAS hanyalah kerana UMNO tidak memperjuangkan Islam. Jika UMNO memperjuangkan Islam, PAS terhapus. Itu janji PAS. Saya teruja kerana inilah bukti PAS sangat-sangat mencintai Islam dan sangat-sangat mencintai kesepaduan. PAS tidak redha UMNO di atas keburukan kerana itu PAS wujud. PAS tidak redha berlakunya pergaduhan umat Islam jika UMNO berada di atas kebaikan, kerana itu PAS berjanji akan membubarkan parti jika UMNO bertekad mengubah dasarnya.

Jadi, marilah muhasabah jemaah kita. Adakah jemaah kita cintakan kesepaduan? Adakah pimpinan jemaah kita berani berjanji untuk membubarkan jemaah jika asas perjuangan kita sama?

Kenapa Memilih PAS dan tidak IKRAM dan ISMA?
Sewaktu saya memilih antara PAS, IKRAM dan ISMA, saya menyarankan untuk kita mengenali terlebih dahulu ketiga-tiga jemaah ini.

Berikut adalah sedikit cerita penubuhan:
1) PAS tertubuh pada tahun 1951 merupakan jemaah Islam tertua di Malaysia dan ia merupakan kesinambungan daripada perjuangan Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada tahun 1948. Fikrah PAS adalah perjuangan Islam.
2) IKRAM tertubuh pada tahun 2009 dan ia merupakan kesinambungan daripada perjuangan Jemaah Islah Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1990 (secara mudahnya). Fikrah IKRAM juga merupakan perjuangan Islam.
3) ISMA tertubuh pada tahun 2005 dan ia merupakan kesinambungan daripada perjuangan Ikatan Siswazah Muslim Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1997. Fikrah ISMA juga merupakan perjuangan Islam.

Daripada ketiga-tiga ini, dapatlah kita ketahui bahawa perjuangan IKRAM dan ISMA lahir setelah wujudnya PAS. Saya masih belum menjumpai sebab-sebab yang pada saya boleh dijadikan hujah syarie untuk membolehkan terbentuknya IKRAM dan ISMA.

Adakah Paling Tua Bermaksud Perlu Diikuti?
Ada yang berhujah bahawa “yang tua tidak bermakna ia perlu diikuti” dalam membalas hujah saya.

Saya menerima hujah tersebut dan menyatakan bahawa sememangnya yang paling tua tidak bermakna ia perlu diikuti. Saya sendiri memilih PAS berbanding UMNO walaupun PAS lahir kemudian daripada UMNO.

Pada saya, dasar jemaah mempunyai faktor yang sangat besar dalam pemilihan jemaah yang diikuti.

Perbandingan PAS, IKRAM dan ISMA
Seperti yang saya sudah sebutkan di atas, perjuangan PAS, IKRAM dan ISMA kesemuanya adalah perjuangan Islam. Persoalan yang timbul adalah kenapa perlu berpecah? Antara alasan yang paling menarik adalah “fikrah PAS adalah berbeza dengan fikrah kami.”

Berikut adalah beberapa perbezaan yang disampaikan kepada saya.
Hujah 1: IKRAM mengutamakan pembentukan tarbiah sedangkan PAS tidak mengutamakan tarbiah.
Jawapan 1: Sebenarnya tidak begitu. PAS mengutamakan tarbiah sama seperti jemaah-jemaah lain. Pembentukan individu yang kuat imannya merupakan asas dalam perjuangan PAS sendiri. Malahan, PAS tidak menolak ahlinya bergelumang dengan ilmu agama.

Hujah 2: ISMA mengatakan bahawa perjuangan mengembalikan orang Melayu kepada Islam merupakan asas kepada kemenangan Islam di Malaysia kerana Melayu adalah majoriti di Malaysia. ISMA memperjuangkan perkara ini, berbeza dengan PAS.
Jawapan 2: Itu merupakan satu kekeliruan. ISMA memperjuangkan apa yang sudah 50 tahun diperjuangkan PAS. Selama ini, PAS mengadakan tazkirah kepada orang Melayu juga, bukannya orang Cina. Secara asasnya, perjuangan PAS adalah perjuangan mengembalikan orang Melayu kepada Islam. Jadi, perjuangan ISMA hanya redundant kepada perjuangan PAS. Tiada perbezaan sama sekali.

Hujah 3: ISMA mengatakan bahawa PAS sudah tersasar kerana bersama dengan DAP, kerana itu ISMA perlu wujud.
Jawapan 3: Hujah ini tidak benar kerana ISMA tertubuh sewaktu PAS belum bersama DAP. Ikatan Siswazah Muslim Malaysia tertubuh pada tahun 1997, pada waktu itu PAS belum bersama DAP. Kemudian, Ikatan Siswazah menukar nama kepada ISMA pada tahun 2005. Pada ketika itu juga, PAS tidak bersama DAP. Jadi, hujah ini tidak sahih.

Kesimpulan yang saya boleh buat, perjuangan IKRAM dan ISMA sudahpun diusahakan di dalam PAS, maka logiknya, tidak perlu lagi usaha yang bertindan. Kenapakah perlu wujud IKRAM dan ISMA?

Kesimpulan
Saya ingin menutup warkah saya ini dengan mengingatkan bahawa, ittaqullah. Saya menyeru kesepaduan Islam kepada sahabat-sahabat IKRAM dan ISMA saya, marilah kita bersatu dalam satu jemaah, saling mengukuhkan.

Saya menyokong Islam. Anda pun sama. Kenapa kita tidak bersama?:)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang ikhlas,
Himayah Al-Kalantani
08/04/2013.

 

Sumber http://sebarislam.blogspot.my/2013/04/kenapa-saya-tidak-bersama-ikram-dan-isma.html?m=1

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: