Dr Mujahid Mahu Tamatkan Kepimpinan Ulama PAS

AIDCNews – 18/11/13 – Forum terbuka antara Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dengan Ustaz Muhammad Atiullah Bin Othman dalam satu wacana bertajuk “Cabaran PAS mendepani aliran semasa gerakan Islam” di Dewan MPS Batu 16 Rawang pada 7 November adalah kemuncak pertembungan kem liberal dan ulama dalam PAS.

Dr Mujahid anak bekas Presiden PAS, Haji Yusuf Rawa mewakili kem liberal manakala Ustaz Atiullah Othman, AJK bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Dewan Ulama PAS mewakili kem ulama.

PAS For All

Abd.Rahman Saadon salah seorang peserta wacana itu melaporkan kepada El-Haraki hujah-hujah Ustaz Atiullah Othman terhadap Dr Mujahid.

Ustaz Atiullah membidas hujah Dr Mujahid yang mendakwa PAS perlu menggembleng tenaga semua pihak sama ada disukai atau tidak (PAS For All) adalah idea yang melampau kerana Islam tidak boleh berkompromi terhadap kekufuran sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Bakar As Sidiq dan Al Ghazali.

Menurutnya anasir-anasir yang buruk yang mempunyai unsur-unsur kekufuran seperti Pluralisme, Sekularisme dan Liberalisme ditolak Islam.

Bersekongkol dengan IRF

Dalam wacana itu, Dr Mujahid mengakui pembabitannya dengan buku ‘Wacana Pemikiran Reformis II‘ terbitan Islamic Renaissance Front (IRF), kerana mahu menghidupkan budaya kritis dalam masyarakat dan dinamik perjuangan PAS.

Buku itu menurut Dewan Ulama PAS Perak sebagai mengitar semula idea Islam Liberal.

Atiullah menjawab IRF mempunyai hubungan dengan gerakan liberalisme dan sekularisme antarabangsa dan menegaskan tidakan Mujahid memberi sokongan terhadap kekufuran akan memburukkan nama parti.

“Fakta-fakta yang disebutkan oleh Ust Atiullah telah berjaya mengendurkan serangan balas Dr Mujahid. Dr Mujahid mengakui kewujudan puak liberal ini. Apa yang dilakukan adalah dengan hasrat baik. Penerimaan PAS dan gerakan Islam sedunia terhadap unsur demokrasi baginya bukanlah liberal tetapi adalah gerakan islah yang dilakukan dengan ijtihad-ijtihad ulama terdahulu. Namun, bergerak ke belakang tanpa menggarap idea baru adalah kejumudan.

“Dr Mujahid mengingatkan karya Oliver Roy yang mengatakan golongan Islamisme telah gagal”, lapor Abd.Rahman Saadon.

Islam Demokrasi

Olivier Roy merupakan seorang professor di European University Institute, Itali, penulis buku ‘The Failure of Political Islam’ (1994) dan mencadangkan idea baru yang dinamakan Islam Demokrasi (Liberal).

Menurut Atiullah, idea Oliver Roy merupakan dakyah untuk penyegaran semula idea sekular. Mengambil contoh Turki, Atiullah berkata parti Islam di Turki adalah parti Refah pimpinan Prof. Dr. Necmettin Erbakan dan bukannya parti AKP (Justice and Development Party) pimpinan Recep Tayyip Erdoğan.

“Parti Refah yang Islamis bukan kalah berdepan Parti AKP tetapi kalah dengan kudeta tentera. Ini bermakna, AKP hanyalah kelangsungan sistem Sekular. Ust Atiullah mengingatkan idea post-Islamisme tidak lebih, hanyalah usaha memasukkan unsur sekular dalam gerakan Islam.

“Ust Atiullah turut menjawab soalan mengenai post-Islamisme yang menyebut bahawa pengistilahan ini tidak diterima oleh ahli akademik. Tujuannya hanyalah menghalang syariat Islam dan menegakkan sistem sekularisme.

“Ust Atiullah mengingatkan agar parti PAS segera merujuk para ulama mengenai isu-isu politik dan kenegaraan agar terselamat dari fitnah pemikiran ini,” lapornya lagi.

Post-Islamisme

Penganalisis politik S. Rajaratnam menulis kepada thejakartapost.com menjelaskan lagi maksud ‘post-Islamisme’ iaitu kumpulan yang tidak rigid pemikiran Islam, tidak bercakap tentang slogan Negara Islam atau hudud sebaliknya menumpukan kepada keadilan sosial, hak asasi manusia dan rasuah seperti parti AKP, Turki.

Selain, Erdogan dan AKP Turki, peserta wacana “Cabaran PAS mendepani aliran semasa gerakan Islam” turut menamakan parti Ennahda di Tunisia pimpinan Rachid al-Ghannouchi juga membawa aliran ‘post-Islamisme.’

“Sudah tiba masanya Dr Mujahid tidak memandang tinggi pendakyah-pendakyah pemikiran semi-Sekular seperti Erdogan dan Rashid Ganoushi.

“Dr Mujahid perlu mempunyai keyakinan terhadap keberadaan politik Islam,” ulas Abd.Rahman Saadon.

Calon Naib Presiden PAS Datuk Abu Bakar Chik ketika ditemui Antarapos baru-baru ini berkata beliau menolak kaedah ‘post-Islamisme’ kerana bertentangan dengan PAS.

“Saya tidak menerima kaedah pergerakan Islam melalui ‘post-Islamisme’ yang maknanya gerak kerja Islam itu sudah sampai penghujung dan membawa imej baru atau lain yang ‘moderate’ yang mana saya tidak menerima kaedah ini,” katanya.

Rujuvenasi PAS

Sebelum ini, blog jamaahdalamjamaah menamakan Mujahid berusaha menamatkan kepimpinan ulama dalam PAS melalui bukunya bertajuk “Rujuvenasi PAS,” terbitan Ilham Centre pada tahun 2012.

“Dengan memainkan pemecahan dalaman PAS ini, Mujahid dapat merealisasikan ideanya dalam buku “Rujuvenasi PAS” bagi menamatkan “kepimpinan ulama” yang diasaskan oleh ayahandanya sendiri iaitu Ustaz Yusof Rawa.

“Mujahid memudahkan game ini dengan memberi definisi tidak benar mengenai ulama. Mujahid menyebut, “istilah ulama melambangkan keilmuan dan keterbukaan”. Definisi ulama ini menambah “keterbukaan” yang tiada dalam sebarang kamus tersohor.

“Dengan meletakkan makna keterbukaan, Mujahid boleh menafikan title ulama dengan mudah apabila melemparkan tuduhan seseorang ulama tidak diterima cara keterbukaan Mujahid dan golongan yang tidak sekongkol dengan ulama. Cara ini membuka ruang bagi mencabut title ulama dari kalangan pemimpin PAS.

“Tanpa berselindung, Mujahid mengenepikan peranan ulama dalam menghadapi krisis dan konflik. Perhatikan luahannya, “Mengurus konflik dan krisis tidak memerlukan ulama atau tidak ulama, tetapi ianya memerlukan seseorang yang mampu melihat secara positif bahawa dalam krisis dan konflik.”

“Mujahid secara langsung mengenepikan peranan ulama sebagai elemen penting dalam penyelesaian krisis dan konflik. Sepatutnya, krisis dan konflik gerakan Islam perlu dan wajib merujuk kepada akidah dan syariat Islam yang difahami secara mendalam oleh ulama. Kegagalan merujuk ulama ini akan membuka ruang gerakan Islam tersasar daripada dasar dan prinsipnya,” ulas blog jamaahdalamjamaah.

JIM

Buku “Rujuvenasi PAS” yang mendapat kata pengantar daripada Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut diulas oleh blogjunududdakwah.

“Saya mula menengenali Dr. Mujahid sejak mula belajar menjejak kaki ke Muktamar Agung PAS Pusat bermula tahun 1996. Penyertaan saya ke muktamar sebagai pemerhati, adalah atas dorongan guru pembimbing saya dalam gerakan pelajar, Y.Bhg Cikgu Sukarno Abd. Hamid setelah mula bertatih dalam gerakan pelajar semenjak tahun 1991 bersama beliau.

“Ketika saya mula mengikuti muktamar dan beberapa siri muktamar, Dr. Mujahid hanya hadir mengiringi ayah beliau, Almarhum Hj. Yusof Rawa sebagai mantan YDP PAS (ketika itu belum diwartakan jawatan Presiden).

“Timbul dalam pemikiran saya ketika itu, kanapa Dr. Mujahid sebagai anak pimpinan tidak turut serta di dalam PAS? Ketika itu, saya mula mendapat jawapan dari beberapa senior di Al-Azhar, rupanya Dr. Mujahid bersama dengan perjuangan JIM & `Alami ketika di Mesir. Pengalaman saya berinteraksi dengan beberapa ahli dan pimpinan `Alami (sekarang ISMA) sebelum menjejak ke Mesir (Ijtimak Pelajar Islam Se-Malaysia kali – 1) dan sewaktu belajar Mesir, membantu saya mengenali dan membaca prinsip sudut pandang pemikiran mereka terhadap PAS. Pengalaman dalam suatu diskusi / debat bersama pimpinan `Alami di DPM Shibin El-Kom selama hampir 3 jam, memberikan saya gambaran yang jelas terhadap pola berfikir dan bertindak golongan ini.

“Namun akhirnya setelah beberapa tahun (ketika saya di Al-Azhar, Kaherah), di era reformasi, saya telah mendapati Dr. Mujahid bersama-sama dengan PAS, ketika itu beliau di Melaka. Sejak dari itu, sehingga kini beliau bersama PAS,” ulas blog itu.

http://anwaraidc.com/2013/11/18/dr-mujahid-mahu-tamatkan-kepimpinan-ulama-pas/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: