IRC, JIM & IKRAM

Pertemuan membincangkan kertas kerja untuk ahli IRC menyertai UMNO tidak berakhir dengan penolakan kertas kerja berkenaan. Ia berterusan dengan usul dalam kalangan mereka untuk menzahirkan IRC di mata masyarakat. Nama yang telah dicadangkan ialah Jamaah Islam Malaysia (JIM).

JIM telah ditubuhkan pada 27 Julai 1990 dan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (1). Usul diterima majoriti dan Presiden JIM pertama adalah Abu ‘Urwah (Saari Sungip) (2) sehingga tahun 1999 di mana Prof. Madya Dr. Mohd Hatta Shahrom (ketika itu) mengambil tempat sebagai Presiden.

Pada tahun 1999 juga ramai pimpinan JIM menganggotai Parti Keadilan, di antaranya ialah Sahri Bari (bekas Naib Presiden JIM dan bekas pensyarah kejuruteraan di ITM tahun 80-an) yang menjadi EXCO Pemuda Keadilan dan pernah memegang jawatan Setiausaha Agung.

Hj. Saari Sungip menjadi calon Keadilan dalam Pilihan Raya 29 November 1999 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tetapi tewas, kini menjadi ADUN PAS Hulu Kelang setelah menang dalam PRU12 2008.

Sebagaimana nasib kumpulan gerakan Islam lainnya, sama ada di Malaysia ataupun di luar negara, IRC bergolak lagi pada tahun 2009 apabila kepimpinannya yang berada dalam HIS mencadangkan penubuhan IKRAM pada 22 Oktober 2009.

Mengikut kalangan tertentu IKRAM diwujudkan bagi menggabungkan tenaga semua ikhwahnya yang pernah mendapat pendedahan tarbiyyah IRC di luar negara tetapi kini terlibat dalam pelbagai jemaah; ada yang dengan JIM, ada yang dengan ISMA (4) dan ada yang dengan HALUAN.(4)

Agak sukar untuk membuktikan hubungan antara kesemua kumpulan ini kerana pengasas HALUAN, Dato’ Kaya Bakti Ustaz Dahlan bin Mohd Zain lebih dikenali sebagai pengasas ABIM Perlis di tahun 70-an dan 80-an.

Namun berdasarkan kepada penggerak yang ada, ia menunjukkan HALUAN mempunyai hubung-kait dengan IRC. Demi menggabungkan semua kenalan seniors yang masing-masing membawa uslub yang berbeza, IKRAM dilahirkan.

Namun JIM, HALUAN dan ISMA tetap berasingan. Pada Disember 2011, dalam PPN JIM ke-21, Zaid Kamaruddin mengisytiharkan dalam Muktamar yang berkenaan bahawa JIM akan dibubarkan dan diserapkan ke dalam IKRAM sepenuhnya, tanpa ISMA dan HALUAN.

Sebab utama pembubaran JIM, penubuhan IKRAM dan seumpamanya hanya diketahui oleh pimpinan yang duduk di dalam Tanzim IRC secara rahsia. JIM, IKRAM dan seumpamanya adalah wajihah (front organization) terbuka dalam masyarakat umum sebagaimana yang dirangkumkan dalam masterplan dan grand design IRC sejak tahun 70-an lagi. Bahawa JIM, IKRAM adalah IRC dan daripada kumpulan yang sama tidak dapat dinafikan lagi kerana dalam Muktamar JIM yang terakhir itu ada menyebutkan bahawa……

“Ramai pengasas JIM merupakan bekas pelajar di luar negara. Kita berhimpun membina Jamaah dalam kalangan umat Islam setempat bagi menyempurnakan tanggungjawab bersama. Kemudian kita bina jemaah yang menyatukan pelajar Islam dari Malaysia, IRC, Islamic Representative Council pada bulan April 1974”.

“Kita kembali ke Malaysia pada pertengahan 1970-an. Terus menggerakkan usaha dakwah dan tarbiah terutamanya di kampus-kampus. JIM hanya ditubuhkan pada 27 Julai 1990….IKRAM ditubuhkan pada 22 Oktober 2009”.

Secara ringkas peranan yang dimainkan oleh IRC dalam medan dakwah di Malaysia yang turut mengalami pasang surutnya. IRC sendiri telah mengalami banyak perpecahan dalam kalangan ahli dan penyokongnya : dari IRC kepada Suara Islam di UK dan berlanjutan hingga ke Malaysia, kemudian menjadi IRC di Malaysia, memasuki ABIM dan PAS dan bersendiri di bawah JIM.

Mereka tubuhkan pula IKRAM pada tahun 2009 dan pada bulan Disember 2011 ini membubarkan JIM dan berbondong-bondong memasuki IKRAM pula.

Esok-esok nanti entah apa pula…menganggotai UMNO? Tidak mustahil sama sekali kerana kertas kerja asas sudah ada sejak Februari/Mac 1990 lagi.(6)

Demikianlah yang dapat dinyatakan grand design IRC dalam medan dakwah di Malaysia yang sempat kita bentangkan berdasarkan pengalaman ramai rakan yang pernah bersama-sama mereka untuk penilaian para pembaca. Kami tidak mengulas kesannya ke atas PAS dan ABIM di sini kerana memberikan peluang kepada para pembaca yang budiman untuk menilainya sendiri. Kami hanya membentangkan fakta sahaja.

Sebahagian fakta disokong dengan rujukan yang masih boleh disahkan, sebahagian lagi berdasarkan temubual. Selamat mengulas dan berikanlah ulasan yang berfakta dengan penuh adab berdasarkan pengalaman masing-masing.

* Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh, “Liku-Liku Gerakan Islam Di Malaysia : Satu Catatan Awal”, Imtiyaz Multimedia and Publications, 2015.

(1) JIM dibubar setelah 22 tahun terlibat dakwah.
http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/15620-jim-dibubar-setelah-22tahun-terlibat-dakwah.

(2) Ironinya pula dalam tanzim JIM ini, Ustaz Alias Othman yang terkenal sebagai pakar rujuk IRC sejak pertengahan 70-an hingga tertubuhnya JIM, tidak menjadi Presiden JIM, tetapi hanya pernah memegang jawatan Timbalan Presiden JIM. Perkara ini pernah ditanya kepadanya. Jawapannya : “strategi dalam dakwah, syaikh!”

(3) IRC Mesir yang mendaftarkan diri sebagai NGO atas nama “Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)”. Kini ISMA turut dikembangkan di luar negara

(4) Merupakan serpihan daripada IRC UK didaftarkan pada tahun 1988 sebagai sebuah NGO atas nama “Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia”. Mempunyai perspektif yang sedikit berlainan daripada modus operandi JIM dan ISMA.

(5) Ada kalangan exIRC yang ditemui menyebut tidak mustahil pada masa akan datang, IKRAM akan menjadi political front yang baru dalam perspektif dakwah di Malaysia. Menurut Ghazali Daud (bukan nama sebenar – untuk melindungi identity subjek), penubuhan IKRAM itu sendiri selain daripada percubaan untuk tujuan wehdah, ia juga berperanan sebagai NGO Islamik alternative kepada yang sedia ada dan barangkali akan mengikut langkah Parti PKS Indonesia yang juga mempunyai persamaan ciri-cirinya dengan IKRAM yang mengambil model al-Ikhwanul Muslimin. Asas manhaj tarbiyyah harakiyyah yang dipegang oleh kalangan pengasas senior IRC adalah model al-Ikhwan sejak penubuhannya pada tahun 1974 sehingga menjadi JIM, IKRAM, HALUAN dan ISMA di Malaysia.

(6) Sila rujuk LAMPIRAN 3 berkembar.

Islamic Representative Council (IRC) & Suara Islam

Sumber: https://aidcnews.wordpress.com/2015/08/12/irc-jim-ikram/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: