Gambaran terakhir oleh Almarhum Dato’ Ustaz Harun Taib, terhadap PAS

Apa Yang Sedang Berlaku Dalam PAS Sekarang.

Sekarang ni bising dan hingar bingar cakap-cakap yang mengatakan “habislah PAS kali ini, siapa lagi nak bersama dengan PAS, golongan bijak pandai dalam PAS telah tidak terpilih masa muktamar baru ni, sebahagian mereka ni nak menubuhkan parti baru, habislah PAS, ramailah nanti yang akan bersama mereka” dan berbagai-bagai versi ungkapan negatif, celaan dan hinaan dikenakan keatas PAS dan pimpinan PAS sekarang.

Saya teringat satu peristiwa yang saya yakin masih segar dalam ingatan kita semua. Muktamar PAS kali ke59 yang diadakan pada 22 hingga 24 Nov 2013 yang bertemakan “Rahmat Untuk Semua” di Stadium Melawati Shah Alam menyaksikan AlMarhum Tuan Guru Dato’ Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS telah diamanahkan oleh muktamar untuk berdoa ketika penutup Muktamar.

Antara doa AlMarhum Tuan Guru Harun Taib ialah;
الَّلهُمَّ عَلَيكَ بِأَعدَاءِ الحِزبِ الِإسلَامِيِّ فِي الدَّاخِلِ وَالخَارِجِ

“Ya Allah hancurkanlah musuh-musuh Parti Islam didalam dan diluar”.

Doa itu segera mendapat perhatian sesetengah perwakilan yang menganggap hal itu merupakan satu isu kritikal yang perlu diambil perhatian oleh ahli.

Sehari sebelum Muktamar penuh bermula, di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam, Muktamar Dewan Ulama meluluskan usul mengenai “Pemikiran Islam Dan Pluralisma Yang Menyesatkan “,menyentuh aktiviti beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang disifatkan sebagai gerakan yang menyebarkan fahaman Islam liberal.(Harakah 25-28 Nov 2013)

Sekembalinya saya dari muktamar, saya terus mengadap AlMarhum dan bertanya “Ustaz! Mengenai doa yang Ustaz baca semasa penutup tu, musuh luaran ana fahamlah, tapi apa maksud Ustaz mengenai musuh dalaman ni sehingga doa itu ditujukan sama dengan musuh luaran?”

Al-Marhum TG Harun Taib dalam keadaan tidak berapa sihat tapi apabila dikemukakan soalan tersebut terus menjawab pertanyaan saya dengan penuh semangat dan nada yang sangat tegas dan yakin;

” Din, kalau anta umur panjang, anta akan tengok Allah Ta’ala akan bersihkan PAS dari semua anasir-anasir yang merosakkan Pas dari dalam!”

“Anta kena faham, PAS adalah jamaah Islam tulin yang menepati ciri-ciri jamaah Islam yang Allah dan RasulNya jelaskan sifat-sifatnya dalam Quran dan hadith. Allah tak akan redha Pas berada dalam keadaan yang ada sekarang ini melainkan Allah akan bersihkan Pas!”

Al-Marhum seperti biasa akan mendatangkan hujahnya dengan AlQuran atau hadith lalu Al-Marhum membacakan kepada saya ;

مَّا كَانَ اللَّهُ لِيَذَرَ الْمُؤْمِنِينَ عَلَىٰ مَا أَنتُمْ عَلَيْهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُطْلِعَكُمْ عَلَى الْغَيْبِ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَجْتَبِي مِن رُّسُلِهِ مَن يَشَاءُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَإِن تُؤْمِنُوا وَتَتَّقُوا فَلَكُمْ أَجْرٌ عَظِيمٌ

( Ayat 179 Surah Ali- Imran)

“Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, sehingga Dia menyisihkan yang buruk (munafik) dari yang baik (mukmin). Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlihatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih siapa yang dikehendaki-Nya di antara rasul-rasul-Nya. Karena itu berimanlah kepada Allah dan rasul-rasul-Nya; dan jika kamu beriman dan bertakwa, maka bagimu pahala yang besar.”

Saya suka untuk menyalinkan di sini beberapa sedutan tafsiran ulamak mengenai ayat ini.

1) Mujahid berkata “Pada saat terjadi perang Uhud itu Allah membezakan antara orang-orang mukmin dengan orang-orang munafiq”

2) Qatadah berkata “Allah membezakan mereka melalui jihad dan Hijrah.”

3) Ibnu Abas dan kebanyakan mufassirin mengatakan ayat ini ditujukan secara umum kepada orang kafir, orang mukmin serta kepada orang munafiq.

4) Syed Qutb mengatakan “Nas AlQuran ini memastikan bahawa bukanlah urusan Allah dengan keagungan UluhiyahNya dan bukan perbuatan sunnahNya untuk membiarkan saff Islam bercampur aduk tanpa dilakukan penapisan di mana orang munafiq bersembunyi di sebalik pengakuan beriman dan memakai simbol Islam..”…

“…Semua itu menghendaki supaya saff kaum muslimin dicairkan untuk mengeluarkan kotorannya, ditekan supaya runtuh batu bata bangunan yang rapuh kemudian disiasat untuk mengetahui bahagian-bahagian dalamnya dari segala sudut dan bahagiannya.”

“Oleh kerana itu,adalah menjadi urusan Allah untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Bukan menjadi urusanNya untuk membiarkan kaum mukminin berada dalam keadaan seperti sebelum terjadinya goncangan ini”

Sebaik saja saya teringat akan doa AlMarhum Tuan Guru Harun Taib dan ayat 179 Ali- Imran yang dibacakan pada saya dan memerhatikan apa yang sedang berlaku dalam Pas ini,maka fahamlah saya kenapa Dato’ Seri Tuan Guru Presiden menjawab soalan wartawan yang bertanya beliau adakah tidak bimbang setelah terdapatnya ahli parti yang bertindak meletakkan jawatan.

TGHAH mengungkapkan dengan senyuman “Untuk pembersihan Parti dengan sendirinya!”. Ungkapan itu diucapkan apabila wartawan bertanyakan Tuan Guru Presiden soalan tersebut ketika menghadhiri Majlis Eidul Fitri Badan Perhubungan PAS Terengganu pada hari Khamis 28 Syawal 1436 , 13 hb Ogos 2015.

Akhirnya saya menyeru ahli-ahli dan pemimpin PAS jangan bimbang dan bersedih dengan apa yang berlaku sekarang dan yakinlah dengan Allah sepenuhnya bahawa Allah sentiasa memelihara PAS dan Allah akan melakukan pembersihan berterusan dalam Pas selagi mana jamaah kita berada dilandasan yang benar.

Saya juga menyeru sahabat-sahabat dan bekas pemimpin Pas yang masih menjadi ahli Pas agar bertenang, bersabar dan terus Istiqamah di dalam PAS dan jangan biarkan diri kita ini menjadi antara yang ditapis oleh Allah dari jamaah ini.

Oleh : Hj Zainuddin Abu Bakar
AJK Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Pas Pusat
1 Zulqaedah 1436, 16 Ogos 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: