PAS dan Umno, Dekat yang Jauh

oleh Pak Subky Latif

KETIKA pembangkang menyarankan Bajet 2016 ditolak sebagai simbolik undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak, PAS cuba menunjukkan ia berkecuali. Ia tidak akan mengundi bersama pembangkang yang lain.Tidak pula dinyatakan ia akan mengundi bersama kerajaan.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengambil sikap mahu mengislah perdana menteri dan Umno sementara ia masih menguasai Putrajaya. Dikritiknya bajet terbaharu yang masih bersifat menindas rakyat. Macam-macam kelemahan bajet dan pembentangannya, tetapi tidak sampai menyuruh perdana menteri berhenti dan tidak mencadangkan Umno mesti mengosongkan Putrajaya.

Ia menambah keliru semua terhadap PAS dan tambah menguatkan lagi syak semua betapa PAS dan Presidennya seolah-olah terpesona dengan Umno dan ada tahaluf baharu dan tersembunyi.

Sudah hampir dua tahun pembenci tegar Umno-BN mentohmah Tuan Guru Abdul Hadi dan PAS merancangkan kerajaan perpaduan apa yang dimasyhurkan sebagai UG. Seolah olah PAS dan Presidennya adalah Umno roader sebagaimana orang sekeliling Mao Zedong dulu melabelkan pengkritik revolusi kebudayaan komunis China dulu sebagai “capitalist roader” dan “western roader.”

Pemimpin PAS itu tahu dia ditohmah begitu dan tahu PAS amat perit menghadapinya hingga tak terdaya menangkis sumpit bertubi-tubi dari semua arah. UG dan Umno roader itu yang menggerakkan usaha melucutkannya dari pimpinan PAS dan ia juga punca PAS terkeluar dari Pakatan Rakyat.

Tetapi ia tidak menghalang beliau membuat kenyataan yang menyebabkan orang bertambah syak PAS hendak bekerjasama dengan Umno sekalipun berguni-guni keterangan perkongsian PAS-Umno adalah mustahil atau ibarat menunggu anjing bersayap.

Sekalipun ramai pimpinan kanan PAS lari membuat parti lain gara-gara atmosfera yang banyak mengelirukan itu, ia tidak menyebab Ustaz Abdul Hadi berhenti dari suara suka mengislahkan Umno seperti sikap terhadap bajet tidak ditentang seratus peratus dan tidak disokong seratus peratus. Tidak bercadang menyuruh Najib mesti berhenti sekarang tetapi memilih menyeru Najib mengubah dasar dan sistem pemerintahan.

Jika boleh dia mahu mendekati Umno bagi memungkinkan berlaku pengislahan itu.

Nada itu menyebabkan orang yang keliru bertambah keliru. Kebanyakan yang bercakap dengan saya tidak faham dengan Tok Guru dan PAS kerana ketika semuanya membenci Najib dan Umno, tiba-tiba PAS tidak bersama mereka.

Reaksi saya ialah, agaknya suasana yang sama menyebabkan Nabi Musa keliru dengan tindakan Nabi Hidzir seperti yang dirakamkan dalam surah al-Kahfi. Saya belum bercakap dengan Ustaz Abdul Hadi akan kekeliruan orang lain tetapi saya terfikir ia mungkin beza antara pemimpin politik biasa dengan pemimpin politik ulama.

Kita selalu berhadapan dengan pemimpin politik biasa seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, Lee KuanYew dan lain-lain. Tetapi kita jarang berdepan dengan pimpinan politik yang terdiri dari ulama. Kita tidak melihat Imam Hassan al-Banna memimpin kerajaan dan pengalaman Yusuf al-Qaradhawi memimpin parti pembangkang. Kita baru menyaksi pengalaman Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan sekarang Tuan Guru Haji Abdul Hadi.

Pendekatan dua tokoh ulama itu nampak tidak sama dengan pendekatan lain-lain pemimpin konvensional.

Sebagai pemimpin kerajaan mereka mempertahankan apa saja supaya kekal memerintah. Sebagai pembangkang mereka buat apa jua yang boleh melucutkan kuasa kerajaan.

Tetapi politik Ustaz Abdul Hadi nampak lebih pada mengubah dasar dari mengubah orang.

Apa panduannya?

Pernah dia berkata, menukar orang tidak menjamin bertukar dasar dan sistem.
Jika sistem bertukar orang bertukar seperti Sayidina Umar al-Khatab dan Khalid ibn Walid bertukar dari jahiliyah kepada beriman. Semua pemimpin jahiliyah bengis hingga Arab masa itu terkenal sebagai orang yang bengis.

Tetapi apabila bangsa itu menukar akidah agama tauhid, bangsa Arab berukar menjadi pencetus tamadun yang adil.

Jangan kata Nabi Ibrahim dan Nabi Musa tidak berpolitik. Politik yang mereka bawa adalah untuk meruntuhkan kezaliman dan penindasan. Bagi politik biasa misinya adalah untuk meruntuhkan kuasa, menuka raja dan pemerintahan. Tetapi Nabi Ibrahim tidak datang untuk mengguling takhta Namrud dan Nabi Musa diperintah menemui Firaun bukan untuk menggulingkan kerajaan dan menggantikan mereka. Nabi Ibrahim menyeru Namrud menyembah Allah dan dia boleh terus menjadi raja. Tidak disuruhnya Namrud turun takhta. Yang meruntuhkan  kuasa Namrud ialah raja nyamuk atau nyamuk aedes.

Bagi mengelakkan ada anak Bani Israil meruntuhkan kerajaan Firaun, Firaun bunuh setiap anak laki-laki Bani Israil. Nabi Musa datang kepada Firaun tidak menyuruhnya turun takhta tetapi beriman kepada Tuhan Yang Esa. Bila Firaun meneruskan kekejamannya, Nabi Musa bawa sekalian Bani Israil di Mesir hijrah ke Baitul Maqdis. Dibiarkannya Firaun menghadapi kebinasaan sendiri.

Nabi Ibrahim dan Nabi Musa menghadapi raja dan kerajaan yang zalim. Nabi Muhammad s.a.w. tidak menghadapi raja yang zalim tetapi menghadapi sistem jahiliyah yang berkuasa di Makkah. Quraisy tidak ada raja tetapi ada pemimpin-pemimpin kabilah. Yang baginda seru di Makkah ialah menukar sistem dari menyembah berhala kepada bertuhankan Allah Yang Esa.

Baginda ada potensi menjadi pimpinan Quraisy hingga pembesar Quraisy
menawarkannya untuk menjadi raja yang berkuasa di Semenanjung Arab tetapi mengekalkan sistem tok nenek mereka sebagai kaum jahiliyah. Baginda menolak tetapi menuntut penduduk Makkah menukar sistem.

Tidak ada makna baginya menjadi raja tetapi mengekalkan sistem yang terpakai. Baginda mengirim muhajirin ke Habsyah. Rajanya Najasyi sedia menukar sistem. Rasulullah s.a.w. mengekalkannya menjadi raja, tidak minta takhta digantikan oleh orang.

Setelah baginda menjadi ketua negara di Madinah baginda mengutus surat kepada raja-raja yang berjiran menyeru mereka menukar akidah dan sistem, tetapi tidak menyuruhkan mereka meletak jawatan.

Saya melihat pendekatan yang dibawa oleh pemimpin PAS ini adalah lanjutan kepada misi kenabian yang dibawa oleh kebanyakan para rasul. Keutamaan dakwahnya ialah mengubah dasar bukan keutamaan menjadi pemerintah. Apabila akidah para raja itu bertukar, maka sistem bertukar.

Mendekati Umno dengan mengislahkannya adalah langkah yang begitu dekat dengan dasar PAS ganti Umno. Jika Umno dijadi musuh yang tidak boleh dibuat baik, maka ia akan menjauhkan terus orang Umno dari PAS. Bila kita kata yang kita tolak Umno adalah sistemnya tetapi orang Umno tidak dimusuhi. Masakan orang Umno itu boleh diajak bersama PAS dari jauh. Kena ada juga pendekatan mengajaknya dari dekat. Dari jauh pun ajak, dari dekat pun ajak. Bila orang Umno terasa PAS suka berbaik dengan mereka, cuma PAS tidak terima sistemnya saja, maka ia telah meletakkan orang Umno itu selangkah dekat kepada PAS.

Bukan semua pemimpin boleh berfikir mendekati orang Umno satu kaedah bagi menggantikan PAS.

Pemimpin yang ada berjiwa besar, berani dan ada misi saja yang sedia membuat pendekatan yang praktikal sekali ramai yang keliru.

Jika Tok Guru Haji Abdul Hadi berjumpa Najib di mana saja, anggaplah pemergian itu seperti Nabi Ibrahim berjumpa Namrud dan Nabi Musa berjumpa Firaun. Bukan mereka hendak jadi pembesar Firaun dan Namrud, tetap demi menyelamatkannya.

Jika orang Umno tidak datang kepada PAS, pemimpin PAS kena pergi kepada Umno, bukan masuk Umno, tetapi ikut apa yang para nabi buat.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: